Sunday, August 23, 2009

Salleh dilantik YDP Maipp jika menang

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan perlantikan Mohd Salleh Man sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) malam tadi sekiranya menang.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh membuat kenyataan demikian sejurus mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri.

Salleh akan ke jawatan penting itu, sejurus penyandangnya sekarang, Adun Permatang Berangan Shabudin Yahya tamat kontrak kelak.

Kata Anwar, "kami akan cadangkan nama Mohd Salleh selaku presiden MAIPP kepada Yang di-Pertuan Agong selepas penggal Shabudin berakhir."

Salleh ditentang calon kontroversi Umno Rohaizat Othman. Pengumuman itu secara tidak langsung menjawab dakwaan Umno sebelum ini, bahawa PAS terpinggir dari Pakatan Rakyat negeri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengesahkan akan mengemukakan nama calon PAS itu sebagai Yang Dipertua Maipp jika beliau memenangi pilihanraya kecil N11 Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Image(Gambar: Hubungan rapat Lim dan Salleh untuk kepentingan umat Islam Pulau Pinang)

"Kemenangan Ustaz Saleh akan memberi makna pada PAS bilamana saya akan mengemukakan namanya kepada Gabenor dan seterusnya kepada Yang Dipertuan Agung untuk mengantikan Adun Permatang Berangan, Shabudin Yahya yang akan tamat tempuh perkhidmatan pada Oktober ini," jelasnya.

Ustaz Saleh memang berkelayakan untuk menjawat jawatan tersebut memandangkan beliau mempunyai kelulusan syariah.

Tambahan lagi, hubungannya dengan Kerajaan Pakatan Rakyat juga rapat dan pernah mengikuti beberapa delegasi ke luar negara mencari pelaburan baru untuk dana Pulau Pinang.

"Ustaz Saleh memang layak untuk jawatan itu semua rakyat akan tunggu dan lihat perkembanganya nanti. Oleh itu, apa yang penting pastikan kemenanganya dulu dengan majoriti yang lebih besar," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Lim berjanji akan membantu Ustaz Saleh bersama empat lagi Adun Pakatan Rakyat bagi meninggikan syiar Islam di negeri ini selari dengan slogan kerajaan yang mengamalkan konsep Amal Makruf Nahi Mungkar dan pemerintahan Umar Abdul Aziz.

"Bukan sahaja pendekatan Umar Abdul Aziz malahan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (C.A.T) terus menjadi amalan kerajaan. Cara ini boleh mengubah pandangan awam agar memberi sokongan padu pada kerajaan sekarang berbanding BN dulunya," terang beliau lagi.

Turut hadir dalam program penerangan sempena kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir ialah Speaker Dun Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Husein, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Anuar Tahir serta Adun Sungai Puyu, Phee Boon Poh.

Sumber: http://harakahdaily.net/

No comments:

Post a Comment